CARA BUAT MUSHROOM SOUP DAN GARLIC BREAD ALA PIZZA HUT
Menurut Puan Yatie, inilah permintaan anak-anaknya yang demam apabila tak lalu makan nasi. Walaupun nampak simple dan ringkas, tapi tetap menyelerakan.
RESEPI MUSHROOM SOUP ALA PIZZA HUT
Pertama sekali, mari kita lihat cara membuat mushroom soup atau sup cendawan. Bahan-bahannya adalah seperti yang disenaraikan di bawah.
Bahan-bahan
- 300ml air
- 500ml susu segar
- 1-2 kiub ayam
- 1/2 sudu teh daun parsley
- 1/2 sudu teh serbuk lada hitam
- 1/2 sudu teh garam
- 1/2 cawan tepung gandum
- 1/2 sudu besar mentega
- 1 tin cendawan butang (potong hiris/cincang)
- sedikit serbuk perasa
Cara-cara
1. Tuangkan air dan susu ke dalam periuk. Tunggu hingga mendidih, dan kemudian barulah masukkan kiub ayam.
2. Kacau 2-3 minit dan masukkan pula lada hitam dan cendawan butang. Kacau lagi selama lebih kurang 15 minit.
3. Seterusnya, masukkan daun parsley, mentega, dan garam. Kacau lagi dalam 10 minit.
4. Bancuhkan tepung dengan air dan kacau supaya tidak berketul. Kemudian boleh tapiskan ke dalam periuk.
5. Kacau sebati. Reneh agak lama supaya semua bahan dapat masak dengan elok. Sup akan menjadi pekat. Siap!
RESEPI GARLIC BREAD ALA PIZZA HUT
Baiklah, sup cendawan dah siap. Sekarang, kita buat pula garlic bread untuk dimakan bersamanya.
Bahan-bahan
- Roti Perancis – hiris (Saya guna roti Gardenia)
- 2 sudu besar mentega
- Secubit daun parsley / oregano / mixed herbs
- 1 ulas bawang putih – bakar sekejap dan tumbuk halus
Cara-cara
1. Mula-mula, bakar sedikit bawang putih dan tumbukkan halus-halus.
2. Selepas itu, campurkan bawang putih yang telah lumat dengan mentega dan daun parsley.
3. Sapukan pes ini ke atas roti anda.
4. Letak atas kuali leper masak hingga garing & keperangan. Siap untuk dihidangkan.
WALAUPUN MUDAH, TETAP MEMBUKA SELERA
Wah, rupanya tak susah pun nak membuat mushroom soup dan garlic bread sendiri di rumah. Lepas ini, tak perlulah beli lagi di luar. Boleh juga berjimat. Bahan yang diperlukan pun tidaklah begitu banyak.
Kalau nak lebih sihat, gunakan stok buatan sendiri dan elak menggunakan perasa MSG. Cendawan pula boleh ditukarkan kepada cendawan segar. Rasanya tetap sedap dan berkrim.
Sesekali, makanan yang simple beginilah yang dapat membuka selera kita. Jadi, jangan lupa save resepi ini supaya anda boleh mencubanya.
Selamat mencuba ya!
No comments:
Post a Comment